Monday 21 November 2011


Bimbingan dan Kaunseling

Apa itu kaunseling?
Suatu proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi. Ia dijalankan oleh kaunselor profesional bagi membantu perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh. Pertemuan adalah secara sukarela dan berterusan sepanjang hayat berlandaskan Etika Kaunseling.
Kaunseling bukan bererti nasihat, walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien, kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik juga untuk klien . Keistimewaan khidmat kaunseling ialah ia membimbing klien mencari sumber dirinya yang menyumbang kepada isu yang dihadapi. Penerimaan dan perakuan sumber diri adalah penting dalam menghasilkan perubahan diri.
Oleh kerana kaunseling bukan nasihat, hubungan kaunseling adalah berbentuk dua hala. Kaunselor cuba memahami dengan mendengar dan memberikan layanan serta interaksi yang baik, manakala klien memberihalkan masalah mereka dan cuba memahami dan mengambil tindakan menguruskan masalah tadi. Proses aksi dan reaksi di antara klien dan kaunselor turut membantu klien mengenali diri dan persoalan yang dihadapinya.
kaunseling menggerakkan klien memahami diri dari segi kelemahan yang menghasilkan masalah dalam hidup dan bagaimana klien terdedah kepada permasalahannya. Oleh itu fokus mencapai matlamat yang mereka tentukan sendiri melalui pemilihan-pemilihan yang bermakna, dan melalui penyelesaian masalah yang berbentuk emosional atau antara individu.
Krumboltz (George & Kristianni, 1990), pula mengatakan kaunseling merangkumi aktiviti-aktiviti yang beretika yang dilakukan oleh kaunseling dalam usaha membantu klien melibatkan diri dengan jenis-jenis tingkahlaku yang akan menghasilkan penyelesian kepada masalah klien.
Untuk pemahaman dengan lebih jelas lagi tentang definisi kunseling, dipetik tiga definisi yang telah dibuat oleh tiga tokoh iaitu Blocher (1974); Corey (1977) dan James (1982). Blocher (1974) mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses untuk menolong individu supaya ia menjadi lebih sedar tentang dirinya dan bagaimana ia dapat bertindak balas dalam alam persekitarannya. Corey (1977) sepertimana dengan Blocher menekankan tentang proses di mana seorang klien diberi peluang untuk menerokai aspek diri dan kehidupannya yang menimbulakn masalah pada dirinya. Akhir sekali James (1982) pula mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses pembelajaran yang lebih menekankan kepada proses membantu individu untuk mencapai kehendaknya, membimbing dan menilai potensi yang ada pada diri individu.
Sebagai rumusan, kaunseling adalah proses pertolongan yang profesional yang bertujuan membantu individu memahami dirinya dan alam sekelilingnya.

Definisi Bimbingan

• Othman Mohamed (2000), bimbingan merupakan sebahagian daripada proses menolong. Ia melibatkan usaha memberi arahan secara teratur serta mengandungi maklumat sesuai bagi menentukan agar sesuatu matlamat tercapai oleh orang yang menerimanya. Lazimnya bagi penentuan kebajikan dan perkembangan dirinya.
Prinsip-prinsip bimbingan
• Bimbingan adalah untuk semua murid, untuk perkembangan diri mereka.
• fokus utama bimbingan ialah pencegahan masalah sementara ia masih boleh dikawal.
• Ia mesti dilakukan secara kolaboratif dengan kakitangan lain di sekolah.
• murid-murid perlu menyertai bimbingan secara sukarela.
• guru bimbingan perlu bertingkah laku prosesional untuk mengelakkan perhubungan tidah sihat.
• perkhidmatan bimbingan merupakan tanggungjawab secara kolektif di antara guru, murid, guru pmbimbing dan sekolah, rakan sebaya dan ibubapa yang berkenaan.
Pendekatan Bimbingan
Perkembangan Pencegahan Pemulihan Krisis
Guru Bimbingan dan Kaunseling (B & K)
• Guru yang dilantik sebagai guru bimbingan dan kaunseling di sekolah yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti-aktiviti kaunseling.
• Guru ini tidak digelar kaunselor
Model Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling
• Perkhidmatan lebih bersifat menyeluruh iaitu memberi khidmat yang ditujukan seboleh-bolehnya kepada semua kelompok sasaran, di mana perlu khidmat rujukan kepakaran juga boleh diberikan.
• Perkhidmatan lebih bersifat perkembangan, pencegahan, dan pemulihan yang boleh disokong melalui aktiviti pengayaan dan pengukuhan.
• Perkhidmatan lebih menekankan bimbingan dan kaunseling pengajaran serta bimbingan dan kaunseling kelompok.
• Perkhidmatan lebih bersifat terbuka .
• Perkhidmatan bersifat bersepadu dan pelbagai disiplin.
• Perkhidmatan bersifat pelbagai modality


KOD TATALAKU KAUNSELOR

PENGENALAN

1. Kaunselor hendaklah menjaga tatalakunya demi memelihara piawaian dan identiti sebagai seorang kaunselor dan integriti profesion kaunseling.

2. Kaunselor hendaklah sentiasa berusaha menilai dan meningkatkan pengetahuan, kecekapan dan kemahiran dalam bidang profesionnya.

3. Kaunselor hendaklah menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab, objektif dan jujur selaras dengan profesion kaunseling.

4. Kaunselor mestilah diawasi serta dinilai tugas kaunselingnya oleh penyelia profesional melalui penyeliaan lazim (regular supervision) dan sokongan perundingan (consultative support).

A.TANGGUNGJAWAB KAUNSELOR TERHADAP KLIEN

1. Kaunselor bertanggungjawab untuk mengutamakan kepentingan klien, sama ada klien individu atau klien kelompok.

2. Kaunselor hendaklah menghormati privasi klien dan merahsiakan segala maklumat yang diperoleh semasa kaunseling melainkan maklumat yang akan membahayakan klien atau orang di persekitarannya.

3. Kaunselor hendaklah memahami dan menghormati latar belakang sosio-budaya klien.

4. Semasa menjalankan sesi kaunseling, kaunselor hendaklah memelihara kesejahteraan fizikal dan psikologi klien dan tidak memperalatkan klien untuk kepentingan diri sendiri sama ada dari aspek kewangan, seksual, emosi dan sebagainya.

5. Kaunselor hendaklah membimbing klien ke arah pembentukan sikap bertanggungjawab terhadap tingkah lakunya. Kaunselor juga perlu menghormati keputusan atau penentuan kendiri yang dibuat oleh klien.

6. Kaunselor hendaklah berkhidmat dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur dan membuktikan kemahiran serta kecekapan profesionalismenya.

7. Kaunselor tidak boleh mengamalkan, mempersetujui atau menggalakkan diskriminasi berasaskan ras, jantina, agama, status, ideologi, kecacatan fizikal / mental atau diskriminasi dalam bentuk apa sekali pun.

8. Kaunselor hendaklah menjelaskan kepada klien mengenai keperluan, proses dan implikasi perkhidmatan kaunseling.

9. Kaunselor hendaklah mencapai persetujuan dengan kliennya di peringkat awal sesi kaunseling mengenai batasan unsur kerahsiaan.

10. Persetujuan antara kaunselor dan klien mengenai kerahsiaan boleh disemak semula dan diubah dengan persetujuan bersama.

11. Dalam kes yang jelas terbukti bahawa klien atau orang lain berada dalam keadaan bahaya, kaunselor hendaklah menggunakan budi bicaranya untuk menjaga kepentingan klien dan orang lain yang terlibat.

12. Kaunselor tidak digalakkan memberi perkhidmatan kaunseling kepada saudara mara, kawan karib atau sesiapa yang mempunyai hubungan intim dengannya atau mempunyai hubungan dengan pihak pentadbiran yang membuat penilaian.

13. Kaunselor tidak boleh menghalang klien yang hendak menamatkan sesi kaunseling atau ingin bertukar kepada kaunselor lain.

14. Kaunselor hendaklah memastikan bahawa kliennya tidak menjalani kaunseling dengan kaunselor yang lain pada masa yang sama.

15. Sekiranya mengikut pertimbangan kaunselor, klien memerlukan perkhidmatan luar daripada bidang kepakarannya, kaunselor hendaklah merujuk klien tersebut kepada pihak yang berkenaan.

16. Kaunselor hendaklah menyediakan tempat yang selesa dan private untuk sesi kaunseling. Klien tidak seterusnya diperhatikan oleh orang luar melainkan dengan kebenarannya, termasuk juga sesi kaunseling yang dirakam (audio atau video).

B.TANGGUNGJAWAB KAUNSELOR TERHADAP RAKAN PROFESIONAL

1. Kaunselor hendaklah saling berusaha meningkatkan tahap kecekapan profesionalismenya.

2. Kaunselor hendaklah menunjukkan sikap menghormati, adil dan terbuka terhadap rakan profesionalnya.

3. Kaunselor bertanggungjawab untuk mencegah, mendedahkan serta memperbetulkan perlakuan rakan kaunselor yang tidak beretika.

4. Kaunselor hendaklah bersedia untuk mempertahankan, membantu serta membela rakan kaunselor yang teraniaya akibat tuduhan dan tohmahan perlakuan yang tidak beretika.

C.TANGGUNGJAWAB KAUNSELOR TERHADAP MASYARAKAT

1. Kaunselor hendaklah memahami dan menghormati unsur sosio-budaya masyarakat di mana dia berkhidmat.

2. Kaunselor hendaklah mematuhi undang-undang negara dan melaksanakan tugasannya berlandaskan undang-undang tersebut.

D.TANGGUNGJAWAB KAUNSELOR TERADAP ORGANISASI DAN MAJIKAN

 Kaunselor bertanggungjawab untuk mengutamakan kepentingan klien, sama ada klien individu   atau klien kelompok.

1. Kaunselor hendaklah mematuhi persetujuan komitmen yang ditandatangani dengan organisasi tempat dia berkhidmat.

2. Kaunselor hendaklah berusaha untuk mengikuti polisi dan prosedur serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan organisasinya.

3. Kaunselor hendaklah bertindak untuk mencegah berlakunya diskriminasi dalam organisasi dan dalam pelaksanaan polisi amalan pekerjaan.

4. Kaunselor tidak boleh menyalahgunakan kemudahan dan sumber organisasinya.

5. Kaunselor hendaklah menjelaskan bidang kepakaran dan tahap kecekapan profesionalnya

6. Kaunselor hendaklah mewujudkan hubungan interpersonal dan persetujuan kerja dengan penyelia da stafnya mengenai khidmat kaunseling khususnya mengenai unsur kerahsiaan, perbezaan antara fakta umum atau peribadi, beban kerja dan akauntabiliti.

7. Kaunselor hendaklah memberitahu kepada pihak majikan tentang keadaan yang boleh menyebabkan konflik yang merosakkan atau menyekat keberkesanan perkhidmatannya.

8. Kaunselor hendaklah membenarkan dirinya dinilai secara profesional dari masa ke masa.

9. Kaunselor hendaklah bersama-sama bertanggungjawab ke atas peningkatan kerjaya untuk dirinya dan stafnya.


No comments:

Post a Comment