Monday, 21 November 2011


Tujuan Kaunseling

Para profesional di bidang kaunseling dan psikoterapi mempunyai pendapat yang berbeza tentang kaunseling dan psikoterapi. Kaunseling mempunyai dua jenis tujuan, iaitu tujuan proses dan tujuan terakhir. Tujuan atau matlamat proses merupakan yang ingin dicapai dalam masa yang singkat. Tujuan proses terus melibatkan klien di dalam proses kaunseling sehingga kaunselor dan klien bersetuju bahawa klien tidak lagi memerlukan perkhidmatan lanjut. Untuk mencapai tujuan proses ini, pertemuan awal sangatlah penting kerana sekiranya klien tidak merasa selamat atau tidak percaya dengan kaunselornya, maka dia tidak akan mahu meneruskan proses dan perhubungan kaunseling tersebut.Tujuan terakhir mementingkan hasil atau kesan perkhidmatan kaunseling dalam jangka masa yang panjang. Tujuan terakhir adalah perubahan atau perkembangan yang akan dialami oleh klien hasil daripada perkhidmatan kaunseling. Di antara konsep yang diutamakan ialah kesedaran kendiri, penyuburan kendiri, individu yang berfungsi sepenuhnya dan kesejahteraan kendiri. Tujuan terakhir merupakan persoalan yang dihadapi oleh manusia dan tidak terhad kepada individu yang mempunyai masalah sahaja, bahkan merupakan tujuan setiap manusia yang ingin hidup dengan lebih bermakna, berfungsi dengan sepenuhnya bergerak dan dinamik.
Lima tujuan kaunseling iaitu:
1. Menolong mengubah tingkah laku klien.
2. Menambahkan kemahiran klien mengendalikan kehidupannya sendiri, terutama mereka yang terlalu bergantung kepada orang lain atau terlalu bimbang dan ragu-ragu tentang dirinya.
3. Menambahkan kemahiran klien membuat keputusan pada saat-saat penting. Klien diharapkan dapat menilai sesuatu situasi, membuat pemilihan dengan bijaksana, tahu bagaimana dan mengapa keputusan tertentu mesti dibuat, apakah kemungkinan akibat atau kesannya dan sedia menghadapi sebarang risiko akibat keputusan tersebut.
4. Membaiki perhubungan klien dengan ahli-ahli masyarakatnya. Ramai orang menghadapi masalah dalam perhubungan dengan individu-individu lain. Masalah ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konsep kendiri, sama ada konsep kendiri yang rendah atau sebaliknya. Diharapkan proses kaunseling dapat menolong klien meningkatkan kualiti perhubungannya dengan orang lain, misalnya perhubungan dalam keluarga, perkahwinan, rakan sebaya dan seterusnya dalam masyarakat. Perhubungan yang berkesan meningkatkan mutu kesejahteraan kehidupan individu.
5. Membantu perkembangan bakat klien. Kaunselor membantu klien mengenal pasti kebolehan dan bakatnya supaya dia dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.Kaunseling mementingkan perubahan yang tertentu tetapi keseluruhan perubahan pada diri seseorang individu itu hingga menyebabkan dia merasa sejahtera.
Objektif kaunseling yang utama ialah untuk memberi inspirasi kepada klien bagi menilai, membuat, menerima dan mengambil tindakan terhadap pilihan atau keputusan yang dibuatnya. Bagi mereka, kaunseling menolong klien mempelajari proses membuat keputusan, sehingga akhirnya dia dapat membuat keputusan tanpa sentiasa mengharapkan bantuan orang lain.
Pelbagai tujuan telah diutarakan oleh mereka yang banyak pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini. Satu hakikat yang nyata ialah tujuan itu tidak sama pada semua orang.
Di dalam perkembangan proses kaunseling, tujuan bagi seseorang klien itu mungkin diubahsuai dari semasa ke semasa. Usaha membina tujuan mestilah dianggap sebagai suatu tindakan yang tidak kaku, statik atau tetap; dan perlu dibuat penilaian bersama oleh klien dan kaunselor mengikut keperluan klien.
Secara umumnya, bolehlah disimpulkan bahawa kaunseling menolong seorang klien:
* Memahami diri dan situasinya;
* Mengenal pasti keperluannya;
* Menerima realiti hidupnya;
* Membuat rancangan yang realistik untuk mengendalikan hidupnya;
* Bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya;
* Dan seterusnya menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya.Tujuan terakhir supaya klien bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya sehingga menjadi individu yang berfungsi sepenuhnya tidak mungkin dapat dicapai dalam masa yang singkat. Ia merupakan tujuan hidup setiap insan yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia. Walaubagaimana pun tidaklah dapat dinafikan bahawa setiap klien dan kaunselor mempunyai tujuan-tujuan jangka pendek yang lebih khusus yang ingin dicapai dalam masa yang singkat.Setiap manusia mesti dilihat menurut konteks sesuatu situasi di antara diri dan situasi yang menimbulkan masalah-masalah berkenaan, difahami bagaimana, mengapa dan kenapa, supaya dapat diterima hakikat yang sebenar dan dapat dibina tujuan-tujuan hidup yang lebih realistik dan lebih bermakna. Jika dilihat dari segi ini, tujuan juga merupakan suatu proses yang dinamik, di dalam perjalanan hidup di dunia ini yang penuh dengan cabaran dan ketidakpastian. Masalah individu yang berhubung dengan kerunsingan, psikologi, peribadi dan ketidaksejahteraan, kebanyakannya berpunca dari dalam diri individu itu sendiri kerana tidak memahami diri dan situasi serta tidak mempunyai jangkaan atau harapan yang realistik terhadap hidup. Persoalan-persoalan asas seperti siapakah aku, dari manakah asalku, apakah tujuan hidupku, siapakah yang menjadikan aku, untuk apakah aku dihidupkan dan seumpamanya sepatutnya diberi perhatian yang wajar.Diharapkan klien dapat belajar mengendalikan hidupnya sendiri daripada pengalaman dalam proses dan perhubungan kaunseling. Dalam proses kaunseling, klien belajar tetapi kaunselor tidak mengajar. Fungsi kaunselor adalah sebagai ‘pemandu’ yang pada mulanya diperlukan untuk menunjuk jalan dan menemani klien dalam perjalanannya, memahami diri dan situasinya serta mengenal pasti keperluannya. Setelah tujuan ini tercapai, barulah fungsi dan peranan kaunselor tercapai dengan sempurnanya. Semakin berkurangan sehingga sampai klien tidak lagi memerlukannya kerana dia sudah dapat meneruskan perjalanannya sendiri tanpa bantuan daripada kaunselor lagi.

No comments:

Post a Comment