Wednesday, 23 November 2011



Bagaimana belajar dengan berkesan?

Apakah konsep pembelajaran berkesan? Pembelajaran berkesan adalah pembelajaran yang mencapai mutu tinggi dalam mengingati fakta, memahami konsep dan kebolehan mengguna, mengolah serta menganalisis fakta dan konsep pada semua kemungkinan.
Aspek yang perlu diberikan perhatian untuk mencapai pembelajaran berkesan:

1. DORONGAN

Dorongan datang daripada hati. Salah satu dorongan yang kuat adalah cita-cita yang menjadi matlamat seseorang.
Cita-cita mesti berasaskan alam nyata dan mestilah suatu yang boleh dicapai.
Cita-cita harus selari dengan bidang kursus anda supaya tidak melambatkan usaha mencapainya.

2. SIKAP

Sikap merupakan pandangan serta perbuatan yang berpunca dari fikiran.
Sikap positif
a) Yakin akan kebolehan dan usaha sendiri.
b) Ingin tahu dan tidak malu bertanya.
c). Pencapaian lemah dalam ujian dijadikan pemangkin untuk meningkatkan usaha dan azam.
d. Berdisiplin iaitu mengikut perancangan.
v. Mengutamakan pembelajaran jika masa itu diperuntukkan untuk belajar.
vi. Bersedia menerima teguran dan nasihat membina.
vii. Menyelesaikan kerja secepat mungkin.
viii. Sentiasa bersikap bersedia.
ix. Tawakal.

Sikap negatif

i. Ragu-ragu atau terlalu yakin akan kebolehan sendiri.
ii. Malu bertanya.
iii. Pencapaian lemah dianggap kegagalan muktamad.
iv. Belajar secara sistem rambang.
v. Mudah mengalihkan perhatian kepada perkara lain selain pembelajaran.
vi. Tidak peka atau enggan menerima teguran dan nasihat.
vii. Suka menangguhkan kerja.
viii. Menyerah kalah sebelum berusaha.
xi. Menyerah kepada nasib semata-mata.

3. PENGURUSAN MASA

i. Perencanaan masa
Rahsia orang yang berjaya adalah pengurusan masa yang cekap bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan.

ii. Perencanaan masa secara realistik.

Pelajar harus mengetahui kegiatan dan masa yang diambil untuk melakukan aktivitinya setiap hari.
Cara yang boleh dilakukan ialah dengan mencatatkan setiap kegiatan dalam tempoh seminggu.
Sekiranya sesuatu perancangan tidak realistik, pelajar boleh mengubahnya.
Umpamanya, jika waktu makan dijadualkan 15 minit, tetapi pelajar mengambil 30 minit, ia tentu menjejaskan kegiatan lain seperti berehat atau bermain. Oleh itu, pelajar harus mengubahnya, sesuai dengan keperluan
.
iii. Mengoptimumkan perencanaan

Pelajar mesti mengambil kira bila dirinya cergas serta bersedia untuk belajar dia bila pula dia memerlukan rehat.
Kajian ahli psikologi mendapati kitaran masa terbaik untuk pembelajaran adalah satu jam belajar dan 10 minit rehat.

iv. Lelehan masa

Ramai pelajar mendapati jadual yang dibuat mereka tidak berguna kerana berlaku lelehan masa.
Umpamanya seseorang berazam untuk mengulangkaji pelajaran Fizik antara jam 8.00 hingga 10.00 malam. Tetapi kerana ada perkara yang tidak difahami, dia perlu bertanya kepada rakan lain.
Malangnya, rakan itu pula sedang berbincang hal lain yang tidak berkaitan sehingga menarik dia menyertai sama.
Kemudian dia teringat azamnya untuk belajar, tetapi pada masa yang sama pula satu cerita menarik sedang ditayangkan di televisyen.
Dia percaya boleh mengulangkaji sambil menonton televisyen, tetapi malang masanya meleleh begitu saja tanpa sempat mengulangkaji sedikit pun.

4. PENUMPUAN

Kurang penumpuan boleh menyebabkan pembaziran masa.
Sebaik-baiknya jangan berbelah bahagi perhatian otak sehingga menjejaskan tumpuan.

i. Tubuh yang segar

Tumpuan boleh terjejas jika pelajar berada dalam keadaan tidak sihat atau lapar.
Pelajar perlu tidur dan rehat yang cukup.

ii. Mengantuk

Ramai pelajar masih mengantuk walaupun mempunyai masa tidur yang cukup.
Jalan terbaik ialah dengan melawan perasaan mengantuk itu. Antara caranya ialah dengan tidur sekejap untuk menjadi badan segar semula.
Mungkin juga anda boleh bersenam sebentar, bergantung kepada kesesuaian diri.
Jangan cuba atasi masalah ini dengan mengambil ubat atau pil.
Pelajar boleh membahagikan waktu pembelajaran antara matapelajaran yang diminati dengan yang tidak diminati.

iii. Kelesuan fikiran

Perasaan ini berpunca daripada rasa bosan yang lazim dilalui ketika belajar atau membaca.
Ia boleh diatasi dengan menukar kegiatan seperti membaca majalah. Jika percubaan itu berjaya, ertinya dia lesu kerana bosan.
SELAMAT BELAJAR

No comments:

Post a Comment